Gelongsor air terpanjang di dunia dibuka dengan rasminya di Taman Tema Escape

GEORGE TOWN: Gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.1km di taman tema 'Escape' Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini, dibuka dengan rasminya hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sejak bertahun-tahun lamanya Escape menjadi tarikan pelancong utama di Pulau Pinang, dan dengan perasmian gelongsor baharu itu ia pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan taman tema berkenaan sebagai sebuah pusat tumpuan pelancong paling menarik dalam negara.

Katanya kajian yang dijalankan oleh University Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menunjukkan 10.9 peratus deripada pelancong tempatan dan antarabangsa yang datang ke Pulau Pinang, akan mengunjungi Escape.



"Kajian itu menunjukkan statistik yang mengagumkan, menjadi bukti kepentingan Escape kepada Pulau Pinang dan pertumbuhan pelancongan malaysia," katanya semasa berucap di majlis perasmian Escape fasa 3 - 'Gravityplay', gelongsor air yang mendapat pengiktirafan sebagai yang terpanjang di dunia oleh Guiness Book of World Record di sini.

Beliau berkata statistik Jabatan Imigresen Pulau Pinang menunjukkan jumlah kunjungan pelancong yang meningkat dengan ketara bagi tempoh Januari sehingga Ogos lepas, menjangkau sehingga 207.7 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Turut hadir dalam majlis perasmian hari ini ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, senator Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas taman tema itu Sim Choo Kheng.

Sim berkata apa yang ditampilkan hari ini adalah hasil kejayaan perjuangan bertahun-tahun lamanya bagi menjadikan impian satu kenyataan.

"Bermula dari konsep sehingga kepada sokongan kami terima dari Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, saya amat menghargai sumbangan semua pihak dalam menjadikan Escape seperti yang kita lihat hari ini - sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan rekod tarikan yang juga mencapai taraf dunia," katanya.

Menurutnya beliau melabur RM60 juta dalam tempoh sejak tujuh tahun lepas untuk membangunkan Escape, dan ketika ini taman tmea itu menerima purata kunjungan 650 pelawat setiap hari.

Terdahulu Escape turut menandatangani memorandum persedahaman dengan GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat TNB, bagi membina satu kemudahan penjanaan kuasa yang akan membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada Energy.

Sim berkata inisiatif ini akan menjadikan Escape sebagai taman tema yang pertama di Malaysia neutral karbon sepenuhnya.

"Di Escape, taman mesra-eko kami wujud seiring dengan habitat semulajadi. Kami mahukan pengunjung kami menikmati detik-detik mengujakan dalam suasana rupa muka bumi yang cantik dan kehijauan hutan hujan yang menawan di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata pembinaan fizikal di kawasan seluas 0.6 hektar itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh setahun dan ia akan mengurangkan bil elektrik bulanan sehingga 15 peratus.

-- BERNAMA, Trending Hangat

Comments