Murid-murid sekolah zaman sekarang semakin berani menunjuk belang di luar kawasan sekolah. Ada yang terus nyalakan rokok apabila keluar sahaja dari pagar sekolah. Situasi ini amat membimbangkan para guru-guru. Siapa yang patut dipersalahkan? Jika guru menegur, guru boleh disaman ibu bapa.
Menerusi Facebook, seorang guru Khairul Kamilin berkongsi pendapat tentang siapakah yang patut mendidik dan menegur murid-murid yang bermasalah. Menurutnya, penerimaan masyarakat bukan lagi seperti dahulu. Jika dahulu murid takut nak merokok luar sekolah kerana takut dipukul jiran, zaman sekarang masyarakat dah tak ambil peduli.

Luar sekolah jangan cari penyakit

Ini gambar yang diambil dari sebuah laman sosial guru. Dalam post itu, guru-guru diminta memberi pendapat masing-masing. Agak-agak sahabat semua, apa kata guru-guru Malaysia? Lebih 90% guru memberikan komen seperti ini:
“Buat tak tahu je. Buat-buat tak nampak”
“Bukan urusan saya”
“Tak payah cari pasal”
“Lantaklah nak jadi apa pun”
“Luar sekolah, jangan cari penyakit. Nanti kita yang susah”•
Jika guru-guru kita, pendidik, murabbi, muaddib pun majoritinya berkata begitu, apa yang dapat sahabat simpulkan akan terjadi kepada generasi anak-anak kita? Jahanam, sedara-sedara. Kita menuju ke dalam kancah masalah yang sangat besar.

Cikgu tak ada kuasa

Salahkah guru-guru berpendapat begitu? Jika tanya saya pun, saya akan jawab yang sama. Apakah itu petanda kami sudah tiada rasa? Apakah itu indikator kami sudah ‘bankrap’ jiwa? Cikgu mana yang sanggup melihat anak murid dan anak bangsanya hanyut? Seperti mana ibu bapa mengharapkan anaknya menjadi baik, guru juga sentiasa berharap agar anak didiknya menjadi manusia. Tetapi garisan lebar pemisahnya telah dilakar masyarakat di depan pintu pagar sekolah.
Lebih dari itu, cikgu tak ada kuasa. Cikgu tegur, cikgu usik, cikgu sakit. Bukan setakat cikgu sakit, periuk nasi cikgu turut akan sakit. Usahkan di luar sekolah, dalam kawasan sekolah pun umum sudah mengetahui banyak keterbatasan yang dialami guru kini.

Masyarakat bukan macam dahulu

Apakah guru dahulu ada kuasa di luar kawasan sekolah? Tidak juga. Sama sahaja seperti sekarang. Jadi apa yang membezakan dahulu dan sekarang? ‘Social acceptance’. Penerimaan masyarakat terhadap satu sistem budaya dalam bermasyarakat. Itu yang berubah.
Masih teringat dahulu ketika duduk di bangsar. Rumah betul-betul tepi sekolah menengah. Pelajar dahulu punyalah takut-takut nak merokok dikhalayak. Lompat pagar, menyorok di kawasan perumahan, baru mula ‘on’. Sekali-sekala kelihatan pengetua ’round’ kawasan perumahan bawa rotan. Bertempiaran lari tak cukup tanah masing-masing. Nak hisap rokok dalam warung, dalam mimpi pun belum tentu. Bukan setakat guru, masyarakat turut berfungsi.
Anak jiran, anak aku.
Anak kawan, anak aku.
Anak melayu, anak aku.
Anak cina, anak aku.
Anak india, anak aku.
(macam pernah dengar ucapan ni)

Pak cik duduk setaman dah tibai dulu

Sebelum kena tibai dengan mak ayah di rumah, kena tibai dengan pakcik yang duduk setaman sekampung dulu. Bukan kata jiran sebelah rumah je. Nun, selang 40 rumah pun kenal mak ayah kita. Atau jika diterbalikkan ayat, lepas kena tegur dan dimarah dek jiran, balik rumah siap sedialah akan kena lagi 2,3 butir dengan ibu bapa.
Masyarakat sekarang? Kalau nak kata guru teruk sebab tak ambil ‘port’ hal ehwal pelajar, baiklah kita terimalah hinaan itu dulu. Tetapi ibu bapa, anggota masyarakat yang lain, ada tolong tegur? Pelajar-pelajar berkumpul di perhentian bas. Depan sekolah saja. Tak jauh mana pun. Berkepul-kepul asap rokok dari 10 orang.
Cikgu dikatakan ‘tak guna’, tak boleh buat apa-apa. Ibu bapa yang menunggu anak-anak, ada yang berani tegur? Remaja sekolah, 15 orang, ‘rem’ motor betul-betul depan pagar rumah kita. Silap hari bulan, kalau rumah kita tak ada pagar, depan pintu mereka berkumpul. Berani keluar tegur?

Ibu bapa jangan sentap bila orang tegur

Terimalah hakikat, kita semua ada bahagian dan terlibat dalam soal ini. ‘Sistem’ ini kita semua yang terima. Sama ada secara rela, atau terpaksa. Kita beri ruang terlalu luas kepada golongan minoriti ibu bapa yang ‘terlebih sayang’ anak menguasai sistem kemasyarakatan kita. Hilang keberanian dalam diri kita nak pertahankan ‘si penegur yang baik’ dalam masyarakat.
Bila dia kena bantai, kena rimbuk sebab menegur, kita tak berani pertahankan dia. Dan akhirnya, inilah dia. Sistem masyarakat kita kini. Menuju 2020 tahun hadapan. Adakah masih ada harapan untuk generasi anak kita? Jawapannya, ya. Dengan syarat, kita mulakan dulu dengan lapang dada, besarkan jiwa bila ada sesiapa pun menegur anak kita. Jangan cepat sangat ‘sentap bagi pihak’ mereka.
Settle bab ini, baru boleh cerita bab lain. Kalau ini pun tak settle, kita hanya boleh terus berdoa, agar yang hisap rokok sambil berkepit dengan awek di meja sebelah kita di warung itu, bukan-anak-kita.
Sumber: Khairul Kamilin, Trending Hangat
The following two tabs change content below.

Comments