‘Nafkah Tanggungjawab Abang, Jangan Sesekali Guna Duit Ita’ – Suami Romantik Tinggal Nota & Nafkah Buat Isteri
‘Nafkah Tanggungjawab Abang, Jangan Sesekali Guna Duit Ita’ – Suami Romantik Tinggal Nota & Nafkah Buat Isteri
Sudah menjadi satu kewajipan bagi seorang suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi kesalahan jika si isteri itu sendiri dengan rela hati ingin membantu si suami.
Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Dr. Ahmad Zakimi yang juga merupakan seorang suami menceritakan ‘skill’ nya memberikan nafkah dengan cara yang agak romantik dan lain dari yang lain.
Kongsikan sepotong ayat Al-Quran
‘Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.’ Biasanya aku akan menghantar Whatsapp begitu jika aku siap dulu ke tempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.
Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Al-Quran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja. Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga.
Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.
Itu tanggungjawab seorang suami
Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.
‘Abang, tak payah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,’ ujar isteri. ‘Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit Ita,’ balas aku.
Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga. Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya, ‘eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit pula.’
‘Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,’ balasku. Itu selalu akan aku jawab. Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.
Walaupun ‘kekeringan’ tetap juga bagi belanja
Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.
‘Alah, tak ada duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan’ . Aku bermonolog kadang-kadang. Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Ikut kemampuan. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.
Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.
Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah. Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.
Sumber: Dr. Ahmad Zakimi, Trending Hangat
Comments
Post a Comment