‘Sepanjang Hayatnya Tak Pernah Sikit Pun Arwah Susahkan Kami’ – Ibu Dedah Peribadi Mulia Anak


Media hari ini melaporkan pemandu bas yang melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut dipersimpangan Setia Triangle, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam positif dadah jenis methamphetamine malah turut tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Mangsa Muhammad Saifullah Mohammad Hafeiz merupakan pekerja sambilan sebuah restoran makanan segera dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Terbaru menerusi laporan Harian Metro, ibu kepada mangsa, Siti Hajar Ghazali berkata dia dan suami sangat terkejut tatkala mendengar berita kemalangan membabitkan anaknya semalam.

Tak dapat terima

Wanita berusia 38 tahun itu berkata, berita kematian membabitkan anaknya itu sangat sukar untuk diterima olehnya.
Katanya, sebelum kejadian arwah tidak memaklumkan apa-apa kepadanya seperti kebiasaan yang sering dilakukan.
Saya pelik sebab selalunya dia kalau hendak keluar, pasti akan salam saya dulu tetapi semalam dia keluar begitu sahaja tanpa memaklumkan apa-apa.
Tidak lama selepas itu, saya dapat panggilan memaklumkan kemalangan itu. Sedih dan sukarnya saya menerima berita itu.

Arwah sangat berdikari

Menceritakan peribadi mulia anaknya itu, Siti Hajar berkata arwah tidak pernah sedikit pun menyusahkan keluarganya malah sering berdikari dan mencari rezeki sendiri jika mahukan sesuatu.
Beliau berkata anak sulung daripada tujuh adik beradik itu sering membuat membuat kerja-kerja sambilan untuk mengumpul wang demi masa depannya dan tidak bergantung kepada keluarga. Menurutnya, arwah sudah bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di sebuah restoran makanan segera sejak Mei lalu.
Sepanjang hayatnya tidak pernah sikit pun arwah susahkan kami, bahkan dia suka berdikari, mencari wang sendiri jika mahukan sesuatu.
Dia masih bersekolah, tetapi dari dulu dia jenis tidak suka duduk diam dan akan membuat kerja-kerja sambilan untuk mengumpul duit demi masa depannya.
Malah, dia beritahu dia tidak mahu susahkan saya dan ayahnya, jadi apa sahaja dia nak, dia yang akan berusaha sendiri.

Arwah seorang pendiam

Sementara itu bapa mangsa, Mohammad Hafeiz Mubara berkata anak lelakinya itu seorang yang pendiam kerana sifatnya yang sangat berdikari.
Namun, dia anak yang baik, tidak pernah sekali pun susahkan saya dengan ibunya, malah rapat dengan keluarga.
Jenazah Muhammad Saifullah yang merupakan seorang pelajar, selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mustaghfirin, Sungai Tiram, Bayan Lepas.
Sumber: Harian MetroBernama, Trending Hangat

Comments