Semalam, media melaporkan wanita yang dituduh melanggar lapan remaja berbasikal sehingga mati pada dua tahun lalu telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru. Hasil daripada keputusan yang diputuskan Majistret Siti Hajar Ali itu, ramai pihak mengeluarkan pendapat mereka termasuklah keluarga kepada mangsa sendiri.
Menerusi laporan Harian Metro, keluarga kepada mangsa kejadian 3.20 pagi 18 Februari 2017 itu meluahkan rasa terkilan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah semalam.
Kesal
Menurut laporan itu, Fatimah Nasir yang merupakan ibu kepada salah seorang mangsa kejadian tersebut berkata dia bersama ahli keluarga mangsa-mangsa yang lain tidak dapat menerima keputusan yang telah diputuskan itu.
Katanya, perasaan yang sama diluahkan semua keluarga mangsa kemalangan menerusi satu perbincangan yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp ‘lapan anak syurga’ yang diwujudkan sejak kejadian malang itu berlaku.
Kami semua kesal dan tidak dapat terima keputusan itu.Ketika berkongsi keputusan itu (pembebasan wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian), semua keluarga tidak boleh terima.
Susulan keputusan itu katanya, satu perjumpaan bersama ahli keluarga mangsa yang lain akan dibuat bagi membincangkan sama ada akan melawan semula kes itu ataupun sebaliknya.
Tak tahu keputusan akan dijatuhkan
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu semua keluarga mangsa kemalangan itu tidak mengetahui bahawa keputusan tentang kes tersebut akan dijatuhkan Mahkamah Majistret semalam.
Katanya, tidak ada mana-mana pihak termasuk polis dan peguam memaklumkan kepada mereka tentang perkembangan kes membabitkan wanita itu sama ada bersalah ataupun tidak.
Kami kesal, terkilan. Sepatutnya ada wakil keluarga mendengar keputusan penuh itu, ini tidak kami hanya mengetahuinya menerusi laman sosial sebelum berbincang mengenainya di kumpulan WhatsApp lapan anak syurga.
Sepatutnya ada hukuman
Sementara itu, suaminya Zulkefli Sarkam berkata dia reda dengan perkara itu namun mengaku dirinya tidak dapat mengenepikan rasa tidak puas hati dan marah terhadap keputusan tersebut.
Sepatutnya ada hukuman. Ini sedikit pun tiada langsung (hukuman), terus bebas. Sesiapa juga akan marah. Kalau ikutkan hati, memang kami tidak puas hati tetapi undang-undang sudah menentukan perkara itu. Inilah keputusannya dan kami terpaksa terima walaupun berat hati.
Semalam, Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, pembebasan terhadap wanita itu dibuat bersandarkan beberapa faktor termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh.
Malah, hasil siasatan turut mendapati tertuduh yang pada ketika itu berusia 22 tahun tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta turut memakai tali pinggang kaledar yang secara tidak langsung membuktikan wanita itu memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.
Sumber: Harian Metro, Trending Hangat
Comments
Post a Comment