Kes penderaan terhadap bayi dan kanak-kanak dilihat semakin menjadi-jadi pada hari ini. Tidak pasti di manakah silapnya, mereka yang bertindak melakukan perkara keji ini seolah-olah tidak sedikit pun mempunyai rasa belas kasihan dan sayang terhadap mangsa dengan sanggup mendera insan tidak berdosa ini sehingga mati.
Terbaru, Harian Metro melaporkan sepasang suami isteri dan seorang wanita telah ditahan polis bagi siasatan atas kematian membabitkan bayi lelaki yang baru berusia 23 bulan dipercayai akibat didera.
Dilapor doktor
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, polis menerima laporan berhubung kejadian itu oleh doktor di Hospital Serdang pada 4 November yang lalu.
Pada hari tersebut, Jabatan Kecemasan hospital itu telah menerima pesakit iaitu bayi terbabit yang dibawa oleh ibu bapanya dalam keadaan tiada tanda masih hidup.
Pengadu (doktor) pada masa itu cuba memberikan bantuan kepada bayi, namun tiada tindak balas dan pada 7.20 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia.
Katanya, pasangan tersebut telah ditahan di perkarangan Hospital Serdang pada 5 November lalu manakala seorang wanita yang juga merupakan kenalan ibu mangsa ditahan pada 8 November di Putrajaya.
89 kesan dera
Apa yang menyedihkan, terdapat begitu banyak kecederaan dan luka pada bahagian tubuh anak kecil itu.
Abdul Aziz memaklumkan, terdapat kesan luka pada bahagian dagu dan atas kening sebelah kanan mangsa, bengkak dan luka pada kemaluan serta ada kesan lebam pada bahagian badan dan kesan parut pada kedua tangan dan kaki.
Malah katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras.
Terdapat 89 kesan lebam, lecur, calar baru dan lama di seluruh anggota badan mangsa.
Kemurungan
Tambahnya, siasatan awal mendapati ibu kepada bayi malang itu mengalami masalah kemurungan.
Ibu dan bapa bayi berkenaan direman sehingga 18 November ini manakala seorang lagi wanita direman sehingga 15 November.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian, Trending Hangat
Comments
Post a Comment